nikakim.biz

Sejak hampir 10 tahun yang lalu saya tidak pernah runsing memikirkan soal jodoh dan perkahwinan

Sejak hampir 10 tahun yang lalu, saya tidak pernah runsing memikirkan soal jodoh dan perkahwinan. Setiap kali bertandang ke majlis kahwin atau hari raya, saya sering ditanya, "Bila hendak makan nasi minyak?" dan dengan selamba saya menjawab, "Belum ada beras untuk ditampi. Benih pun belum disemai, masakan menjadi padi apatah lagi bertukar menjadi nasi?"
Imam Nawawi selalu saya jadikan penanda aras bahawa tiada salahnya mati tanpa berkahwin. Jauh daripada itu, saya tidak mahu perkahwinan menjadi sesuatu yang rutin dan klise sama ada secara tradisi dilihat sebagai 'suami-isteri' atau secara moden dilihat sebagai 'biologi'.
Saya tidak terlalu kesepian tanpa wanita kerana seperti kata Albert Einstein bahawa selalu ada kesempatan untuk secangkir kopi bersama sahabat.
Malah saya reda jika membujang sehingga ke tua kerana saya juga khuatir jika isteri dan anak sebahagian daripada fitnah sebagaimana peringatan dalam Surah At-Taghaabun: 14-18.
Saya tidak malu untuk menjadi 'bujang terlajak' atau 'antertu' (anak teruna tua). Saya lebih malu jika menjadi suami atau bapa yang tidak berguna.
Doa yang selalu saya ulang baca, "Ya Allah Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Tunggal, jika berseorangan ini lebih baik bagiku maka matikan aku ketika bujang. Dan jika berkahwin itu lebih baik bagiku maka temukan daku dengan sebaik-baik wanita yang dapat memperbaiki diriku dan melengkapi hidupku."
Alhamdulillah hampir memasuki usia 35 tahun, barulah Tuhan makbulkan doa saya dan perancangan perkahwinan pun tidak sampai 3 bulan!
Walau pun kami tidak sempat bercinta seperti orang muda tetapi kami berjanji untuk menghabiskan masa tua bersama.
Selamat Ulangtahun Kedua Perkahwinan untuk isteriku Syafa Asmuni dengan ikat janji "Hanya kamu yang satu, tiada duanya."
#FaSya
30/09/2021

Tinggalkan Balasan

Tên của bạn *
Email *
Cảm nhận *